Peluang kedua untuk PN akan binasakan negara - PKR - Utusan Malaysia

Peluang kedua untuk PN akan binasakan negara – PKR

SHAMSUL ISKANDAR MOHD. AKIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu keadaan yang akan membinasa dan menyedihkan rakyat negara ini jika barisan Kabinet yang gagal menjalankan fungsinya diberikan peluang sekali lagi untuk menerajui negara, kata Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata, peluang kedua itu secara tidak langsung menyambung kehancuran dan mewujudkan porak-peranda dalam negara ini.

Justeru, beliau berkata, PKR menolak dan mengutuk sekeras-kerasnya usaha licik kerajaan untuk berpaut dan mempertahan kuasa serta jawatan ketika keabsahannya sudah dipertikaikan.

“Anggota Kabinet Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan sahaja terbukti gagal dalam menguruskan dan menangani pandemik yang melanda negara, bahkan membawa negara dan rakyat keluar daripada kemelut ekonomi yang kritikal ini.

“Malah lebih teruk, Kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baru dilantik telah jelas bersekongkol dan memilih mempertahan Muhyiddin tatkala kerajaan memilih untuk menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengah hari tadi, Muhyiddin dilaporkan telah menyatakan kepada pemimpin-pemimpin parti kerajaan berkaitan hasrat berundur dan meletak jawatan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, esok.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu kehilangan sokongan majoriti ahli Parlimen selepas 15 daripada 18 ahli Parlimen UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menarik semula sokongan terhadap Perdana Menteri.

Ketika ini, Muhyiddin yang mengetuai pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan melalui pilihan raya umum pada tahun lalu mempunyai sokongan 100 ahli Parlimen iaitu kurang 11 untuk mencapai sokongan majoriti.

Talian hayat Muhyiddin untuk mempertahan kerajaan dengan membentuk persetujuan Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan beberapa imbuhan kepada pihak pembangkang gagal apabila rata-rata enggan menerima tawaran berkenaan.

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar berkata, PKR menyambut baik mengenai jangkaan Muhyiddin menyerahkan surat peletakan jawatan Perdana Menteri kepada Seri Paduka esok.

“PKR sangat faham dan mengerti dengan situasi kritikal melanda rakyat dan negara. Kami ingin memberi ingatan bahawa rakyat kini sangat terdesak untuk mengimpikan kerajaan dan pimpinan baharu bagi memulihkan keyakinan mereka bahawa Malaysia mampu keluar dari pandemik Covid-19 dan kemelut ekonomi yang tidak berkesudahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN