PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pelantikannya sebagai Perdana Menteri sebagai petunjuk kepada langkah mencari jalan keluar daripada segala kekalutan pandemik, kegawatan ekonomi dan kekusutan politik yang membelenggu negara sejak beberapa bulan lalu.
Dalam ucapan awam sulungnya sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama seluruh perkenan Raja-Raja Melayu atas pelantikannya.
“Saya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Bekas Perdana Menteri telah berusaha sepenuh tenaga dalam menghadapi kemelut yang melanda negara bersama-sama ahli-ahli Jemaah Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Sekali lagi dengan ikhlas, saya berterima kasih,” katanya. – UTUSAN ONLINE










