Pelantikan Ismail Sabri kebanggaan rakyat Pahang - Wan Rosdy - Utusan Malaysia

Pelantikan Ismail Sabri kebanggaan rakyat Pahang – Wan Rosdy

WAN ROSY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pelantikan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan merupakan suatu kebanggaan kepada rakyat terutama di negeri ini.

Ini kerana, Naib Presiden UMNO tersebut merupakan anak jati negeri ini dan Ahli Parlimen Bera.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik beliau sebagai Perdana Menteri kesembilan.

“Dengan pelantikan ini diharapkan, semua pihak memberi kerjasama agar beliau dapat menjalankan tugas dan peranannya dengan berkesan.

“Lebih-lebih lagi sekarang dalam usaha menangani penularan pandemik Covid-19 yang pada hari ini menempuh rekod baharu dengan lebih 23,000 kes positif,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahli Parlimen Bera itu dijadual mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kesembilan di Istana Negara pada pukul 2.30 petang esok, selepas Al-Sultan Abdullah hari ini memperkenan pelantikannya.

Pelantikan Naib Presiden UMNO itu dibuat selaras dengan peruntukan di dalam Perkara 40 (2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan dan selepas Majlis Raja-Raja Melayu bersidang di Istana Negara, hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, proses seterusnya selepas pelantikan itu ialah Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan esok, pukul 2.30 petang, di Istana Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN