JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri sedang menunggu ‘lampu hijau’ dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membenarkan pekerja Malaysia di Singapura yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin untuk pulang tanpa perlu dikuarantin di pusat kuarantin.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, sekiranya dibenarkan, pekerja Malaysia di seberang tambak itu yang sudah melengkapkan dua dos vaksin masing-masing hanya perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.
“Perkara ini sudah dibawa kepada kementerian terlibat dan setakat ini tiada sebarang bantahan. Kita hanya menunggu hitam putih (keputusan rasmi MKN) untuk membenarkan mereka kuarantin di rumah,” katanya.
Beliah berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hospital Pakar KPJ Johor, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr. Aman Rabu.
Pada bulan lalu, Utusan Malaysia melaporkan satu petisyen dalam talian diwujudkan yang memohon supaya pekerja Malaysia di Singapura yang hendak pulang tidak perlu menjalani kuarantin di pusat kuarantin.
Ini kerana kos kuarantin di pusat kuarantin menelan belanja sehingga RM10,000 seorang hingga menjadi kekangan buat pekerja Malaysia di sana untuk pulang ke tanah air dan kekal berada di sana lebih setahun yang lalu.
Sementara itu, menurut Hasni, jumlah pekerja Malaysia di Singapura yang mahu pulang juga tidak seramai mereka yang mahu masuk ke republik itu untuk mencari peluang pekerjaan.
Jelasnya, ada dalam kalangan pekerja Malaysia di Singapura terpaksa menahan rindu untuk pulang kerana berisiko hilang kerja setelah perlu menjalani proses 14 hari kuarantin di negara ini dan 14 hari lagi ketika masuk semula ke Singapura.
“Kita akan berbincang semula dengan kerajaan Singapura berhubung skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) apabila kes Covid-19 di Johor dan Singapura mencatatkan penurunan.
“Ini memang menjadi keutamaan kita dan kita sudah sedia dengan semua prosedur operasi standard (SOP) tertentu,” katanya.










