Pekebun rambutan rugi RM2.5 juta  - Utusan Malaysia

Pekebun rambutan rugi RM2.5 juta 

ZULKIFLI Yunus mengagihkan durian dan rambutan kepada petugas media di hadapan pejabat NSTP Kelantan, Kota Bharu, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Lambakan rambutan di seluruh negeri ini menyebabkan harga borong terkini buah tempatan tersebut jatuh hingga ke paras terendah 40 sen sekilogram, berbanding harga normal sekitar RM3 sekilogram.

Keadaan itu menjejaskan lebih 2,000 petani yang mengusahakan kira-kira 1,000 hektar kebun rambutan di Tanah Merah dan Jeli dengan kerugian dialami mereka pada musim buah kali ini mencecah RM2.5 juta.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lanas Jedok, Tanah Merah, Zulkifli Yunus berkata, rata-rata petani kini mengeluh memandangkan harga borong rambutan terlalu murah merugikan mereka.

“Para pekebun sekarang rasa tidak berbaloi untuk mengutip rambutan di kebun masing-masing kerana perlu menampung pelbagai kos seperti upah pekerja dan sewa pengangkutan, sedangkan harga borong hanya 40 sen sekilogram.

“Harga jatuh kerana pada musim ini, rambutan sangat menjadi dan terlalu banyak kebun rambutan di Kelantan,” katanya dalam program sumbangan durian dan rambutan kepada petugas media di sini hari ini.

Zulkifli menambah, ketika ini, ‘fenomena’ lambakan mengakibatkan banyak rambutan rosak akibat terbiar begitu sahaja tanpa sempat dijual memandangkan buah tersebut tidak boleh disimpan lama.

“Saya memohon pihak berwajib mengambil pelbagai langkah yang proaktif bagi membantu pekebun mengatasi lambakan buah-buahan bermusim di Kelantan, khususnya di Tanah Merah dan Jeli ketika ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN