fbpx

23 September 2021, 7:00 am

Peguam Kanan Persekutuan didenda RM130,000, penjara sehari kerana rasuah

PEGUAM Kanan Persekutuan (kanan) didenda RM130,000 dan dipenjara sehari selepas didapati bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM700,000 tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang Peguam Kanan Persekutuan didenda RM130,000 dan dipenjara sehari selepas didapati bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM700,000 tahun lalu.

Tertuduh, Lim Cheah Yit, 43, sebelum itu mengaku bersalah bagi kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, dia sebagai pegawai badan awam iaitu Peguam Kanan Persekutuan yang bertugas di Jabatan Peguam Negara Pulau Pinang telah bersetuju menerima untuk dirinya wang tunai berjumlah RM700,000.

Dia didakwa menerimanya daripada seorang lelaki yang diketahui mempunyai urusan rasmi yang akan dijalankan dengan Pegawai Pendakwaan Negeri Pulau Pinang iaitu bagi menuduh seorang lelaki lain di mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa bersetuju menerima RM500,000 di dalam bilik sebuah pusat karaoke di Gurney Paragon Mall, dekat sini kira-kira pukul 7 malam 8 Mac tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Cheah Yit didakwa bersetuju menerima RM100,000 di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Alor Setar, Kedah kira-kira pukul 12.43 tengah hari pada 18 Mei 2020.

Sementara itu bagi pertuduhan ketiga pula, dia didakwa bersetuju menerima RM100,000 di AC Hotel Penang, Bukit Jambul, dekat sini kira-kira pukul 12.19 tengah hari pada 1 Jun 2020.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mukhzany Fariz Mohd. Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam S. Devanandan.

Cheah Yit kemudiannya dihantar ke Penjara Seberang Perai di Jawi, Nibong Tebal di sini bagi menjalani hukuman penjara sehari yang berjalan serentak selepas selesai membayar denda. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI