‘Patah kaki’ motosikal disita polis selepas asyik berlumba - Utusan Malaysia

‘Patah kaki’ motosikal disita polis selepas asyik berlumba

SALAH seorang penunggang motosikal yang ditahan kerana menaiki kenderaan itu secara bahaya dan berlumba di Lebuhraya Linkedua, Iskandar Puteri di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Tiga lelaki ‘patah kaki’ apabila motosikal mereka disita polis setelah menunggang secara berbahaya dan berlumba sesama sendiri di Lebuhraya Linkedua menghala ke Gelang Patah, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua yang ditahan itu berusia 17 hingga 22 tahun.

Katanya, mereka ditahan semasa sepasukan Polis Trafik Iskandar Puteri menjalankan tugas rondaan penguatkuasaan trafik Samseng Jalanan di lokasi itu bagi membanteras Samseng Jalanan bermula pukul 6 petang hingga 4 pagi.

“Dalam operasi tersebut pihak polis telah berjaya menangkap tiga lelaki berusia 17 hingga 22 tahun di Lebuhraya Linkedua menghala ke Gelang Patah.

“Ketiga-tiga suspek tersebut ditangkap kerana menunggang motosikal dengan kelajuan yang tinggi serta melakukan aksi berbahaya dan berlumba sesama sendiri mencelah-celah kenderaan awam yang lain di Jalan Lebuhraya Linkedua.

“Pihak polis turut menyita tiga buah motosikal dan tangkapan atas kesalahan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan berbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulkhairi berkata, sebanyak 16 keping saman telah dikeluarkan terhadap mereka atas pelbagai kesalahan seperti lesen memandu tamat tempoh, cermin sisi, ubah suai ekzos dan ubah suai struktur asal motosikal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN