Pas terus istiqamah bersama PN, MN - Utusan Malaysia

Pas terus istiqamah bersama PN, MN

MOHD. AMAR NIK ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun UMNO menarik sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) namun Pas tetap istiqamah dalam kerjasama Muafakat Nasional (MN) bersama parti tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya mahu dan tetap pendirian selama ini untuk bekerjasama dengan UMNO menerusi MN.

Katanya, di samping itu, pihaknya mahu juga bersama PN yang disertai pelbagai parti khusunya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam membentuk kerajaan.

“Masih kekal (kerjasama MN) tiada perubahan. Namun, setakat ini tiada perjumpaan atau pertemuan di antara UMNO dan Pas.

“Oleh itu, kerjasama MN masih kekal,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, Pas merupakan salah satu komponen PN manakala UMNO dan parti itu bersama dalam MN.

Sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas tidak berputus asa mengadakan pertemuan untuk memberi penjelasan dan pemahaman ke arah menyatupadukan parti-parti politik Melayu Islam tersebut.

Malah, mesyuarat atau muzakarah Majlis Syura bersama Jawatankuasa Pas Rabu lalu memutuskan bahawa parti itu akan bersama UMNO dan Bersatu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu memutuskan untuk menarik balik sokongan terhadap PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun ia tidak mendapat sokongan sepenuhnya beberapa Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang berpandangan perkara itu tidak wajar ketika negara masih dilanda Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN