PETALING JAYA: Tindakan 15 individu termasuk seorang penjawat awam yang menyertai parti liar di sebuah kediaman di Jalan Ceylon, dekat sini, dapat dihidu pihak berkuasa.
Dalam serbuan yang dilakukan pukul 1 pagi itu, kesemua mereka ditahan terdiri daripada sembilan wanita dan enam lelaki berusia 17 hingga 45 tahun.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, hasil serbuan itu turut menemukan penggunaan dadah selain speaker dan lampu disko.
Kata beliau, kesemua mereka juga melakukan kesalahan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana melakukan aktiviti sosial.
“Semua tangkapan warga tempatan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 17 (1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, kata Mohamad Zainal, hasil tangkapan itu, seramai 11 orang didapati positif dadah iaitu tiga lelaki dan lapan wanita. – UTUSAN ONLINE