JOHOR BAHRU: Orang ramai di bandar raya ini mula menyimpan air sebagai persiapan awal menghadapi gangguan bekalan air di beberapa kawasan selama 26 jam bermula pukul 9 pagi esok.
Dijangkakan lebih 30,000 akaun pengguna di beberapa kawasan termasuk Tebrau bakal berdepan gangguan bekalan air susulan kerja-kerja penyelenggaraan Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Iskandar, Pasir Gudang oleh pihak Ranhill SAJ Sdn. Bhd.
Kerja-kerja itu melibatkan keseluruhan sistem instrumen penting loji bagi memastikan kelestarian sistem rawatan air dalam jangka masa panjang.
Pembantu Tadika Kemas Stulang Laut, Habibah Saji, 55, berkata, pihaknya mula menyimpan air yang mencukupi bagi keperluan kanak-kanak tadika dan guru.
“Kami kena utamakan dahulu kebersihan anak-anak, terutamanya apabila mereka hendak ke tandas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi Rizwan Hasabana, 19, yang tinggal di tingkat 5, Blok 9 Flat Stulang Laut, dia mengakui baru mengetahui tentang gangguan bekalan air itu labtas segera menyimpan air dalam bekas lebih besar.
“Rumah yang saya sewa ada mengalami masalah kerosakan pada tangki air, saya terpaksa menyimpan air sebanyak mungkin.
“Kalau tangki air tidak rosak sekurang-kurangnya boleh menampung air selama dua hari,” jelasnya
Sementara itu pihak Ranhill SAJ menasihatkan pengguna supaya menyimpan air secukupnya sepanjang tempoh gangguan dan menggunakan air secara berhemah. – UTUSAN











