Pakej rangsangan ekonomi Selangor berkesan - Utusan Malaysia

Pakej rangsangan ekonomi Selangor berkesan

AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pakej rangsangan ekonomi Selangor bernilai lebih RM20 bilion dilapor berkesan apabila mencatatkan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada -5.3 peratus yang dikatakan lebih baik berbanding peringkat Persekutuan, -5.6 peratus bagi tahun 2020.

Pencapaian dalam suasana pandemik itu disumbang oleh beberapa pakej termasuk melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 1, 2 dan 3 serta memberikan suntikan kepada aktiviti ekonomi supaya dapat bergerak lebih kuat dan pantas.

Justeru, pendapatan negeri sehingga pada 20 Ogos 2021, Selangor mengutip RM1.53 bilion atau 69.57 peratus daripada sasaran RM2.2 bilion bagi tahun ini seperti yang dibentangkan dalam belanjawan negeri bagi 2021.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari ketika menjawab pertanyaan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini yang memberitahu pertumbuhan itu adalah di luar daripada norma biasa berbanding kesan ekonomi berlaku sebelum ini.

“Kalau kita lihat perkembangan turun naik ekonomi, biasanya Selangor akan mencatatkan pertumbuhan negatif yang lebih besar jika pihak Persekutuan mencatatkan negatif tertentu akibat daripada kedudukan dan sektor ekonomi yang berkembang dan juga paksi-paksi ekonomi di negeri ini.

“Namun begitu beberapa langkah diperkenalkan termasuk membenarkan beberapa perkhidmatan perlu dan juga mengehadkan lokaliti tertentu sahaja yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Diperketatkan (PKPD),” katanya.

Beliau menambah, lebih 900 syarikat, 70,000 perniagaan mikro serta dalam sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan 50,000 pekerja yang bekemungkinan diberhentikan dibantu melalui program dalam pakej berkenaan bagi memudahkan aliran tunai mereka dan memberikan kesan ripple melebihi RM1 bilion.

Dalam pada itu, beliau menambah, ekonomi negara pada tahun ini diunjurkan tumbuh pada kadar 5.4 peratus apabila penurunan berlaku sebanyak 3.6 peratus pada 2020 berdasarkan laporan Situasi Ekonomi Dunia dan Prospek (WEPS) 2021.

“Ini sedikit sebanyak sebenarnya adalah terkesan daripada Covid-19 serta impak dan kesan yang berlaku dan juga pengekangan aktiviti ekonomi dan sosial yang telah berlaku dan kita hadapi lebih daripada satu tahun setengah yang lalu.

“Output ekonomi kebanyakan negara kembali ke tahap pra-pandemik pada 2022 dan mungkin 2023 manakala Tabung Kewangan Dunia (IMF) pula mendasarkan unjuran pada Julai 2021 meramalkan pertumbuhan global dijangka meningkat kepada enam peratus pada 2021 dan 4.4 peratus pada 2022,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN