GEORGETOWN: Lebih 2,000 anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negara akan melakukan penyamaran bagi menjalankan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di premis-premis perniagaan yang dibuka mulai 16 Ogos lalu.
Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, menerusi Op Samar yang dijalankan itu, anggota penguat kuasa itu berpakaian preman dan menyamar sebagai pelanggan bagi meninjau pematuhan SOP dalam kalangan peniaga serta pelanggan.
Menurut beliau, Op Samar dijalankan di kawasan-kawasan tumpuan pelanggan yang dikenal pasti seperti pusat beli-belah, kedai makanan, kedai gunting rambut dan lain-lain sektor ekonomi yang melibatkan orang ramai.
“Pemilik premis dan pelanggan perlu memastikan hanya yang telah lengkap divaksin sahaja boleh melakukan aktiviti seperti ‘dine-in’.
“Apa yang boleh dikatakan sekarang ialah gerak geri anda diperhatikan oleh anggota penguatkuasa,” katanya selepas meninjau operasi perniagaan serta Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) di Gurney Paragon, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE