PETALING JAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengucapkan takziah atas pemergian penyanyi, Siti Sarah Raissuddin melalui ciapan di Twitter beliau hari ini.
“Takziah kepada keluarga Siti Sarah Raissuddin dan kepada semua ahli keluarga rakyat Malaysia yang telah terkorban akibat Covid-19,” tulisnya.
Ketika ini, selain rakan-rakan selebriti dan warga industri seni hiburan tanah air menitipkan salam takziah menerusi media sosial, di Twitter sohor kini dengan sejumlah 157,000 pelayar menyebut dan berkongsi kebaikan Allahyarham Siti Sarah.
Untuk rekod, Siti Sarah, 37, menghembuskan nafas terakhir pukul 5.13 pagi tadi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selepas bertarung nyawa melawan jangkitan Covid-19.
Allahyarham meninggalkan tiga anak mereka iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, termasuk bayi pramatang Ayash Affan, lapan bulan. – UTUSAN ONLINE









