Muhyiddin sedia pastikan titah Sultan Johor diutamakan - Utusan Malaysia

Muhyiddin sedia pastikan titah Sultan Johor diutamakan

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar menerima menghadap Muhyiddin Yassin selepas upacara Pembukaan Rasmi Penggal Keempat Persidangan DUN Johor di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedia memastikan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tidak membincangkan hal politik atau kepentingan sendiri seperti dititahkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Muhyiddin berkata, selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, beliau akan memastikan titah nasihat baginda diberi keutamaan dan diambil tindakan sewajarnya khususnya berkaitan usaha menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi negeri dan negara.

Ujar Perdana Menteri, segala titah pedoman dan titah nasihat Sultan Ibrahim dijadikan panduan kepadanya dalam menjalankan amanah sebagai wakil rakyat.

“Sebagai seorang pemimpin, kita mempunyai tanggungjawab untuk membantu rakyat sedaya upaya dengan penuh keikhlasan agar kita dapat menang bersama dalam perang melawan pandemik Covid-19 ini.

“Saya menjunjung setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas perkenan Baginda Tuanku (menerima menghadap). Pada sesi itu, saya mempersembahkan perkembangan semasa isu-isu di dalam negara untuk makluman baginda,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook rasmi miliknya.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri yang menyampaikan perkembangan isu semasa sambil bersantap tengah hari di Istana Pasir Pelangi.

Pada sebelah pagi, Muhyiddin menghadiri upacara Pembukaan Rasmi Bagi Penggal Keempat Persidangan DUN Johor Yang Ke-14 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.

Sultan Ibrahim berkenan menyempurnakan titah pembukaan sidang yang berlangsung dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Baginda antara lain membangkitkan kebimbangan berhubung peningkatan kes Covid-19 berikutan penularan varian-varian baharu yang lebih merbahaya dan mudah berjangkit dan merebak kepada orang lain.

Sultan Johor turut menitahkan Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat agar segera menangguhkan persidangan sekiranya penilaian kesihatan mendapati wujud risiko atau ancaman daripada pandemik itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN