PETALING JAYA: Inflasi Malaysia dijangka kekal rendah dan stabil pada masa hadapan, walaupun peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkemungkinan memberi tekanan sederhana, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).
Bagaimanapun, bank pelaburan itu berkata, tekanan tersebut dijangka dapat diimbangi sebahagiannya oleh kesinambungan subsidi RON95, pengukuhan ringgit serta penurunan harga makanan global.
“Sebaliknya, pengecualian perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada subsidi bahan api bersasar BUDI95 menimbulkan risiko peningkatan inflasi, memandangkan kos bahan api yang lebih tinggi berpotensi dipindahkan kepada harga pengguna,” katanya dalam nota penyelidikan.
MBSB IB berkata, Indeks Harga Pengeluar (IHP) Malaysia terus mencatat penyusutan sebanyak 1.8 peratus pada November 2025 berbanding penurunan 0.1 peratus pada Oktober 2025, merupakan kejatuhan paling ketara sejak Ogos 2025 dan melanjutkan trend deflasi selama sembilan bulan berturut-turut.
“Penurunan tersebut sebahagian besarnya dipacu oleh kejatuhan ketara harga dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan sebanyak 9.7 peratus tahun ke tahun, dipengaruhi oleh penurunan harga indeks penanaman tanaman kekal sebanyak 16.2 peratus tahun ke tahun,” katanya.
Deflasi IHP dalam sektor perlombongan turut mencatat kejatuhan lebih mendalam sebanyak 7.2 peratus tahun ke tahun, diseret oleh penurunan indeks pengekstrakan petroleum mentah sebanyak 5.5 peratus tahun ke tahun dan gas asli sebanyak 11.4 peratus tahun ke tahun. – UTUSAN










