MHO gesa polis siasat 14 pekerja buruh dipercayai dieksploitasi - Utusan Malaysia

MHO gesa polis siasat 14 pekerja buruh dipercayai dieksploitasi

HISHAMUDDIN (dua dari kanan) serta wakil pekerja yang dieksploitasi majikan selepas tidak dibayar gaji ketika membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak hari ini.- UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa polis melakukan siasatan terhadap majikan yang didakwa mengeksploitasi seramai 14 pekerja buruh sebuah tapak pembinaan di Jalan Beringin, Bukit Damansara, di sini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan pekerja yang terdiri daripada warga Bangladesh, India dan Pakistan itu dipaksa bekerja dan tidak dibayar gaji selama tiga bulan sehingga tertunggak sebanyak RM27,000.

Malah, katanya mereka turut diugut majikan jika mereka cuba keluar dari rumah kongsi atau meninggalkan tapak pembinaan.

“Selain itu, majikan turut mengugut dengan melibatkan elemen gangsterism atau akan melaporkan kepada pihak berkuasa jika ada antara mereka ingin lari.

“Kita telah dihubungi mangsa-mangsa pada minggu lalu dan kini seramai 14 org melarikan diri serta diberikan bantuan perlindungan oleh MHO,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak, di sini hari ini.

Tambah Hishamuddin, pihaknya menggesa polis menyiasat dakwaan tersebut selain menyahut seruan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bagi membanteras isu pemerdagangan manusia.

Menurut seorang wakil pekerja, dia serta 13 orang lagi dijanjikan bayaran sebanyak RM2,500 hingga RM3,500 seorang sejak mula bekerja Mei lalu.

Bagaimanapun, dakwanya, majikan hanya membayar gaji untuk tempoh 10 hari pada 20 Mei hingga 30 Mei lalu.

“Bagaimanapun, sejak 1 Jun, kami mula tidak dibayar gaji sehinggalah bulan Ogos.

“Kami juga enggan bekerja namun telah dipaksa sehingga menganggu emosi dan jatuh sakit,” dakwanya.

Untuk sebarang maklumat tambahan atau aduan boleh menghubungi Hotline MHO di talian 01129050000. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN