Menyamar ‘wakil’ badan kebajikan curi duit - Utusan Malaysia

Menyamar ‘wakil’ badan kebajikan curi duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Taktik tiga wanita menyamar sebagai wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan bagi menjalankan kegiatan mencuri di sekitar Jinjang dekat sini terbongkar selepas mereka ditahan polis dalam serbuan berasingan pada Sabtu dan semalam.

Kesemua warga tempatan berusia 23 dan 43 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, serbuan dijalankan susulan laporan oleh mangsa berusia 82 tahun yang memaklumkan berlaku kecurian wang miliknya berjumlah RM8,000 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri di sini.

Katanya, serbuan pertama dilakukan pada Sabtu lalu dan dua wanita berusia 23 dan 42 tahun ditahan.

“Polis turut merampas 17 bungkus makanan pelbagai jenis, empat telefon bimbit dan pakaian semasa kejadian.

“Tangkapan itu turut membawa kepada satu lagi penahanan wanita berusia 23 tahun, semalam dan kesemua suspek mengaku terlibat dalam jenayah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Eng Lai, siasatan mendapati kegiatan yang didalangi suspek berusia 42 tahun itu menyamar sebagai NGO kebajikan datang untuk menyerahkan bantuan.

Jelasnya, semasa urusan penyerahan sumbangan dilakukan, seorang suspek menyelinap masuk ke bilik mangsa untuk mencuri.

“Mereka menyasarkan warga emas yang tinggal sendirian,” katanya.

Jelas Eng Lai, siasatan mendapati suspek utama mempunyai 12 rekod jenayah manakala seorang lagi tiga rekod jenayah termasuk kes pecah rumah dan curi dalam bangunan.

“Kesemua mereka direman di IPD Sentul dan polis berjaya menyelesaikan tiga kes kecurian dalam bangunan dilaporkan di sekitar Jinjang pada tahun ini.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselamatan dengan kehadiran orang menyamar sebagai wakil badan kebajikan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN