KUALA LUMPUR: Sebanyak 175 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam merayu campur tangan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu menghentikan pertelingkahan parti politik dan mengutamakan kepentingan rakyat.
Rayuan itu dilakukan melalui satu penyerahan memorandum kepada Seri Paduka di Istana Negara hari ini.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Mohd. Zai Mustafa berkata, sekiranya kerajaan pemerintah ketika ini terbubar, maka tiada pihak lain memperoleh majoriti membentuk kerajaan.
“Pihak kami menyambut titah nasihat Sultan Selangor, Sultan Johor dan Pemangku Raja Pahang yang menitahkan agar pemimpin berhenti daripada perebutan kuasa dan mengutamakan kemaslahatan rakyat dan perpaduan ummah.
“Kerisauan dan kekecewaan yang dizahirkan oleh baginda raja-raja Melayu berkaitan dengan krisis politik yang tidak berkesudahan ini perlu ditangani oleh semua pihak,” katanya ketika ditemui di sini.










