Melaka benarkan pasangan akad nikah bermula hari ini

Melaka benarkan akad nikah bermula hari ini

CHE SUKRI CHE MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pasangan di negeri ini telah dibenarkan untuk mengadakan majlis akad nikah bermula hari ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, majlis tersebut boleh diadakan di masjid kariah, Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) atau mana-mana lokasi yang ditetapkan oleh pihak PAID.

Katanya, bagaimanapun jumlah kehadiran yang dibenarkan bagi urusan tersebut tertakluk kepada tujuh orang sahaja.

“Mereka yang dibenarkan untuk bersama-sama menjalankan urusan akad nikah itu adalah jurunikah, wali, pengantin lelaki, pengantin perempuan, dua orang saksi daripada masjid kariah atau PAID dan seorang ahli keluarga pihak lelaki.

“Pelaksanaan majlis akad nikah hendaklah mematuhi SOP yang ketat seperti yang dinyatakan dalam pekeliling JAIM,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut mengenai pekeliling tersebut, Che Sukri menjelaskan, semua urusan majlis akad nikah serta perkhidmatan nikah, cerai dan rujuk (NCR) adalah melalui temu janji yang ditetapkan pihak JAIM.

“Kehadiran tanpa jadual temu janji adalah tidak dibenarkan bagi tujuan menjaga kebajikan dan keselamatan semua pihak sama ada orang awam, mahupun kakitangan JAIM serta petugas majlis akad nikah di masjid kariah.

“Jurunikah juga hendaklah bertanggungjawab terhadap perjalanan majlis akad nikah di kariah masing-masing dan sekiranya kita kesan berlaku pelanggaran SOP, pihak terbabit akan dikenakan tindakan tatatertib,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan semua urusan di kaunter Bahagian Pengurusan Keluarga (BPK) JAIM dan PAID yang melibatkan hal kewangan atau pembayaran akan dibuka semula pada Isnin sehingga Jumaat, bermula pukul 8.30 pagi sehingga 12 tengah hari.

“Bagi urusan lain yang tidak melibatkan pembayaran seperti pengambilan dokumen NCR atau kebenaran berkahwin, kaunter akan dibuka dari pukul 8.30 pagi sehingga 4.30 petang. 

“Saya ingin mengingatkan sekali lagi, semua urusan ini adalah dengan temu janji yang ditetapkan oleh pihak BPK JAIM dan PAID,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN