PETALING JAYA: MCA sentiasa mengenang budi dan tidak melupakan jasa serta bakti UMNO terutama ketika membantu calon parti itu, Wee Jeck Seng yang mewakili Barisan Nasional (BN) menentang calon Pakatan Harapan (PH) sehingga membolehkannya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 16 November 2019.
Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Perhimpunan Agung parti itu pada 7 Mac lalu sudah memutuskan bahawa MCA kekal bersama BN yang merupakan sebuah gabungan parti diasaskan bersama MNO dan MIC sebelum kemerdekaan negara lagi.
Katanya, perkara itu adalah pendirian jelas dan MCA tidak pernah berhajat menyertai mana-mana gabungan parti politik lain.
“MCA adalah rakan setia UMNO dan MIC. Masa senang kita bersama dan ketika susah juga kita tetap bersama.
“Kerana apa? Kerana kita berpegang kepada semangat BN dan mengamalkan konsep musyawarah serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.
Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam satu hantaran Fasebook mempersoal adakah sebuah parti itu melupakan kegigihan seorang wanita yang memberi sokongan terhadap Jack Seng dalam keadaan cuaca hujan.
Ka siong berkata, gabungan itu berkawan berdasarkan prinsip dan nilai-nilai sejagat yang dipegang dan dipersetujui bersama.
“MCA tidak berhajat mencampuri urusan dalaman parti UMNO, (tetapi) saya yakin UMNO mempunyai “political wisdom” dan mampu menyelesaikan segala kekusutan yang sedang dihadapinya. Doakan yang terbaik buat UMNO!,” katanya.
Tambah beliau, ramai yang mungkin terkeliru perkara yang dibincangkan dan diputuskan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti komponen akhirnya akan dibawa ke Dewan Tertinggi BN untuk pertimbangan bersama semua parti komponen, tetapi selama ini, itu jua mekanismenya.
“Saya mendoakan hubungan akrab antara parti komponen BN iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat berbilang kaum di Malaysia.
“Kepada UMNO dan parti komponen BN, jasamu tetap dikenang! Terima kasih kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Mohamad Hassan, Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Khaled Nordin dan ramai lagi yang tidak dapat saya senaraikan satu di sini,” katanya. – UTUSAN ONLINE