KUALA TERENGGANU: Kalangan pengusaha premis makanan dan pelanggan di negeri ini masih keliru dengan kebenaran aktiviti dine-in yang bermula semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, sepanjang dua hari pemantauan dijalankan pihaknya mengesan beberapa kesalahan, namun buat masa ini tiada tindakan penguatkuasaan diambil bagi mendidik orang ramai.
“Wujud kekeliruan mengenai prosedur operasi standard (SOP) baharu ini yang secara tidak langsung menyebabkan aktiviti dine in kurang mendapat sambutan.
“Saya telah mengarahkan semua ketua polis daerah agar tidak mengenakan kompaun lagi dalam tempoh tiga hari ini bagi memberi kefahaman kepada pelanggan, pekerja serta majikan di premis-premis makanan dan minuman (F&B),” katanya.
Beliau berkata dalam sidang akhbar selepas memantau restoran dan medan selera di pusat beli-belah, Kuala Terengganu City Centre (KTCC) di sini hari ini.
Rohaimi berkata, kesemua 147 pasukan pemantauan akan terus digerakkan bagi memeriksa premis-premis di negeri ini.
Dalam pada itu, katanya, pergerakan kenderaan merentasi daerah tidak mencatatkan sebarang kesan ketara walaupun kelonggaran berkenaan dibenarkan sejak semalam. – UTUSAN ONLINE










