JELEBU: Pihak pengurusan Masjid Jamek Simpang Durian dekat sini menafikan bahawa masjid tersebut menjadi tempat perjumpaan bagi pengikut sebuah ajaran sesat seperti yang didakwa sebuah akhbar hari ini.
Pengerusi jawatankuasanya, Rusman Jaafar berkata, sehubungan itu pihaknya telah membuat laporan polis berhubung perkara itu yang menurutnya telah mencemarkan nama masjid berkenaan.
“Di dalam laporan akhbar berkenaan dinyatakan antara lokasi perjumpaan pengikut kumpulan ajaran sesat tersebut adalah Masjid Jamek Simpang Durian.
“Susulan laporan itu pihak masjid telah mengambil keputusan untuk membuat laporan supaya polis dan pihak berkuasa agama mengambil tindakan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Rusman, pihak masjid tidak mengetahui wujudnya ajaran sesat yang didakwa dibawa oleh seorang wanita bergelar Sittah Annur.
“Sepanjang pengetahuan saya semua program yang dijalankan di masjid seperti kelas takmir, kelas fardhu ain, kuliah dhuha, kelas muslimat dan kelas al-Quran kanak-kanak dijalankan mengikut garis panduan yang ditetapkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.
“Guru-guru yang terlibat juga mempunyai tauliah yang dikeluarkan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.