Mangsa tembakan punyai enam rekod jenayah - Arjunaidi

Mangsa tembakan punyai enam rekod jenayah

ARJUNAIDI MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian tembakan dekat Ascort Hill Golf Course, Bukit Rahman Putra di Sungai Buloh, di sini semalam dilaporkan mempunyai enam rekod jenayah lampau.

Menurut Ketua Polis, Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, mangsa yang meninggal dunia di hospital itu pernah terlibat dengan pelbagai aktiviti jenayah namun tidak berada dalam senarai yang dikehendaki polis.

“Benar, dia terlibat dengan beberapa aktiviti dan kita masih lagi menyiasat berkenaan dengan penglibatan kes-kes dan juga apa jua yang mungkin menyebabkan berlaku perkara sebegini.

“Mangsa tiada rekod ‘dikehendaki’, tetapi kita pernah cari dia dahulu, sekarang ini tak ada. Rekod jenayah mangsa melibatkan kes samun dan ugutan jenayah,” katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Bagaimanapun, belia menambah, masih belum ada tangkapan dibuat, namun polis menemui salah satu kenderaan digunakan dalam insiden terbabit iaitu jenis Toyota Hilux yang dibakar kira-kira 1.5 kilometer (km) dari tempat kejadian.

Kenderaan terbabit dikenalpasti dicuri di Klang pada 2019.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan seorang lelaki maut selepas terkena empat das tembakan dilepaskan oleh suspek yang menyerangnya dalam kejadian di Jalan BRP 2/1, Bukit Rahman Putra.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, mangsa berusia 42 tahun dikatakan ditembak individu tidak dikenali semasa memandu kenderaan jenis Range Rover berwarna merah.

Dalam pada itu, Arjunaidi mengesahkan kejadian berlaku berhampiran dengan kediaman mangsa.

“Kes tembak semalam mangsa umur 42 tahun memang tempat kejadian itu berhampiran dengan kediamannya dan dia mempunyai enam rekod jenayah. Dia juga dilaporkan meninggal di hospital semalam. Hasil pemeriksaan terdapat empat das tembakan pada badan mangsa,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN