MUAR: Malaysia menjangkakan lonjakan pasaran eksport minyak sawit ke Turki dengan sasaran satu juta tan metrik setahun, mulai tahun depan.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, peningkatan mendadak itu disasarkan hasil memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak yang masih berlangsung.
“Baru-baru ini, kita membuat beberapa MoU bersama Turki untuk kita perkukuh lagi pasaran sawit negara. Turki bukan hanya negara, tetapi ia juga adalah pintu masuk ke negara Balkan selain menjadi sebahagian pintu masuk ke Iran dan Eropah. Maka kita melihat Turki adalah satu destinasi sangat penting bagi sawit Malaysia.
“Alhamdulillah, dengan komitmen besar negara itu, kita memperoleh angka yang tinggi untuk tahun ini. InsyaAllah, kita akan bergerak untuk mencapai satu angka baru iaitu satu juta tan setahun. Meskipun memerlukan masa, namun kita pasti akan bergerak ke situ,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SKT Banquet Hall 68, Jalan Sungai Abong, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Khairuddin berkata, untuk peringkat awal, Malaysia meletakkan sasaran eksport minyak sawit ke Turki sebanyak 500,000 tan bermula tahun ini sebelum angka itu dijangka meningkat.
“Sasaran tertinggi yang kita letakkan ini adalah untuk tahun hadapan, bagi tahun ini kita letak angka sekitar 500,000 dahulu. Tetapi dengan kekuasaan pasaran sedia ada dan MoU yang dicipta bersama dua ke tiga pihak, InsyaAllah sasaran itu boleh dicapai pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas pelaksanaan program vaksinasi sektor agrikomoditi (VACOMS), sebanyak tiga pusat pemberian vaksin industri (PPVIN) telah beroperasi membabitkan sektor perladangan sawit dan getah serta industri perkayuan dan perabot. – UTUSAN ONLINE