PUTRAJAYA: Malaysia memenangi kerusi Majlis Operasi Pos (POC), Kesatuan Pos Universal (UPU), bersempena Kongres Ke-27 agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang mewakili negara, turut mempertahankan kerusi Majlis Pentadbiran (CA) dalam kesatuan tersebut bagi tempoh penggal 2022 hingga 2025.
“Kejayaan Malaysia menang kerusi POC dan CA jelas mencerminkan pengiktirafan dan kepercayaan 192 negara anggota,” kata kementerian itu melalui kenyataan di sini.
Pencapaian itu jelasnya, membuktikan keyakinan terhadap kepimpinan Malaysia dalam UPU bagi menjamin sistem pos yang benar-benar universal dan memberi manfaat komuniti sejagat.
Malaysia antara 41 daripada 46 negara dipilih bagi kerusi CA serta 48 daripada 62 negara bagi kerusi POC pada kongres yang berlangsung dari 9 Ogos sehingga semalam secara hibrid dengan perhimpunan kali ini menyasarkan untuk mencapai Agenda Pembangunan Lestari PBB 2030 melalui sistem pos dunia serta membina masa depan yang lestari demi kesejahteraan global.
“Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mohammad Mentek turut berucap ketika sesi plenari yang berlangsung pada Rabu lalu bagi mewakili kerajaan Malaysia,” tambah kenyataan itu yang menyebut Kongres buat julung kali menyaksikan penglibatan negara anggota mengambil bahagian sama ada secara fizikal di ibu pejabat UPU di Switzerland atau maya susulan isu wabak Covid-19.
Beliau menegaskan kembali komitmen negara ini dalam menyokong usaha secara aktif segala matlamat dan objektif UPU serta sedia berkhidmat bagi penggal yang akan datang dengan dibuktikan melalui pelbagai inisiatif diperkenalkan kerajaan mengembangkan pelbagai inisiatif khas untuk memacu e-dagang.
UPU yang ditubuhkan pada 1874 merupakan badan khusus PBB yang berperanan dalam kerjasama perkhidmatan pos antarabangsa selain isu teknikal dan operasi agensi terlibat yang mana kesatuan ini diletakkan di bawah Majlis Sosial dan Ekonomi PBB sejak 1945 di ibu pejabat badan dunia itu yang turut membabitkan lebih 1,600 organisasi bukan kerajaan antarabangsa.










