ARAU: Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengarahkan semua masjid di Kuala Perlis mengehadkan aktiviti pengimarahan masjid dan ketatkan prosedur operasi standard (SOP) bermula hari ini sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, perkara itu mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail setelah meneliti perkembangan semasa penularan pandemik Covid-19 di seluruh negara dan negeri ini.
Baginda bertitah, rentetan peningkatan kes di Kuala Perlis dan kawasan sekitarnya, semua masjid di Kuala Perlis terlibat dengan arahan pelaksanaan aktiviti pengimarahan secara terhad dan SOP diperketatkan bermula waktu solat Zohor hari ini sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
“Terdapat enam masjid yang terlibat iaitu Masjid Rahmaniah, Kuala Perlis; Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Seberang Ramai; Masjid Terapung Al-Hussain; Masjid Al-Firdaus, Padang Besar Selatan; Masjid Al-Munir, Jalan Batu Lima dan Masjid Al-Mukminin, Kota Kayang.
“Hanya pegawai bertugas (imam, bilal dan siak) serta jemaah yang terdiri daripada kalangan jawatankuasa kariah masjid tidak melebihi 12 orang dibenarkan melaksanakan aktiviti solat jemaah,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Baginda merangkap Yang Dipertua MAIPs bertitah, mereka yang berada di dalam kawasan terlibat dilarang keluar dari kariah untuk menunaikan solat atau hadir mengimarahkan masjid di tempat lain.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, sekiranya ada yang ingkar dengan arahan tersebut, orang ramai diminta segera membuat laporan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis dalam satu kenyataan memaklumkan terdapat 21 kes baharu Covid-19 hari ini iaitu sembilan jangkitan tempatan, satu kes import B dan 11 kes tahanan.
Sehingga kini, kes tempatan aktif di Perlis meningkat kepada 64 kes dengan Kuala Perlis menjadi mukim paling tinggi dengan 33 kes aktif.










