Mahdzir Khalid tidak terima makluman pelantikan sebagai menteri - Utusan Malaysia

Mahdzir Khalid tidak terima makluman pelantikan sebagai menteri

MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid mendakwa beliau tidak mengetahui mengenai pelantikannya sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkuat kuasa 9 Ogos ini.

Ini kerana menurutnya, beliau tidak menerima makluman mengenai pelantikan tersebut yang mula tersebar semalam.

“Saya tidak ada menerima sebarang makluman mengenai berita (pelantikan sebagai menteri) yang disebarkan sejak semalam,” katanya dalam catatan Twitternya hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai pelantikan beliau sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Manusia berkuat kuasa 9 Ogos ini.

Ia bagi menggantikan Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah yang meletakkan jawatan kerana mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti semalam.

Sumber memberitahu Utusan Malaysia, lantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman beliau yang pernah memegang beberapa portfolio penting dalam Kabinet, sekali gus mampu membantu untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit.

Mahdzir sebelum ini pernah menjadi Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dari Mei 2013 hingga Julai 2015, sebelum memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan sehingga 2018.

Beliau juga adalah bekas Menteri Besar Kedah dari Disember 2005 hingga Mac 2008.

Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari Universiti Sains Malaysia (USM), Mahdzir pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), selain Timbalan Pengerusi Penggalakan Pelancongan Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN