PUTRAJAYA: Warga kampus terutama mahasiswa disaran bertindak selaku ‘duta vaksinasi’ Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kempen Mesti Menang yang dilancarkan KPT semalam sangat signifikan untuk kelangsungan, kestabilan dan keharmonian negara ke arah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Beliau berkata, hasrat kempen berkenaan perlu dicapai kerana dengan cara itu sahajalah, masyarakat di negara ini mampu memutuskan rantaian Covid-19.
“Kita boleh kembali ke kehidupan normal seperti yang pernah dinikmati sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dulu, namun ia memerlukan disiplin tinggi dan pengorbanan.
“Saya yakin rakyat Malaysia sangat merindui kehidupan sebelum pandemik Covid-19, maka untuk kembali ke arah itu, kita perlu menyokong hasrat kerajaan dalam usaha mencapai imuniti kelompok,” katanya ketika mengulas kempen Mesti Menang yang dilancarkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, semalam.
Kempen itu merupakan satu daripada usaha KPT dalam membantu Pelan Pemulihan Negara sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik Covid-19.
Pengisian kempen itu turut merangkumi topik kesedaran pematuhan PKP, meningkatkan kefahaman dan menggalakkan orang ramai mendaftarkan diri untuk divaksin melalui aplikasi MySejahtera dan klip penghargaan kepada petugas barisan hadapan.
Mohammad Shatar berkata, warga kampus disarankan supaya menyahut seruan KPT untuk ‘menang bersama’ dengan memastikan setiap pelajar mendaftar di aplikasi MySejahtera supaya dapat diberikan vaksinasi segera.
“Apabila kerajaan membenarkan untuk ‘walk-in’ ke pusat pemberian vaksin (PPV) bagi mendapatkan vaksinasi, peluang itu perlu direbut masyarakat di negara ini supaya imuniti kelompok dapat dicapai segera.
“Mahasiswa perlu memainkan peranan menjadi ejen kerajaan dalam memberi galakan kepada masyarakat terutama dalam kalangan keluarga sendiri untuk mendaftar seterusnya divaksinasi,” katanya.










