‘Madrasah ini mungkin akan ditutup’ - Utusan Malaysia

 ‘Madrasah ini mungkin akan ditutup’

MEMBACA khutbah antara aktiviti pelajar di Madrasah Rumah Transit Mualaf Sabah di Ranau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: ‘Kita mungkin akan menghentikan operasi madrasah sekiranya situasi pandemik ini masih berpanjangan’.

Demikian luahan Pengasas Madrasah Rumah Transit Mualaf Sabah (RTMS), Ranau, Mohd. Nazri Abdullah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, madrasah itu tidak mengenakan sebarang yuran kepada pelajar dan operasi madrasah itu bergantung sepenuhnya kepada sumbangan dana orang awam.

Namun, sejak pandemik Covid-19, dana daripada tabung kutipan sumbangan yang diletakkan di premis-premis perniagaan semakin berkurangan kerana lebih 100 premis yang ditutup. Malah, ada sekitar 20 hingga 30 tabung turut dilarikan orang.

“Kami mengambil tabung pada setiap tiga hingga empat bulan. Satu tabung kadang kala ada RM50 dan RM20. Malah, pernah juga hanya ada RM1 dalam satu tabung, semasa pandemik Covid-19.

“Kami juga faham orang di luar sana turut terkesan akibat pandemik malah, operasi kedai pun banyak yang ditutup. Faktor-faktor ini menyebabkan kutipan dana untuk operasi madrasah kami sangat terjejas,” katanya.

Justeru, Pengerusi Persatuan Pendakwah Islam Negeri Sabah itu berkata, sekiranya situasi pandemik ini masih berlarutan untuk tempoh yang lebih lama, madrasah itu tidak lagi mampu bertahan kerana kutipan daripada tabung juga semakin berkurangan.

Namun, perkara tersebut akan diputuskan menjelang hujung tahun ini dan mesyuarat akan diadakan bersama dengan sahabat yang banyak memberi infaq kepada madrasah ini.

Ketika ini, gaji guru dan kakitangan juga terpaksa dibayar separuh kerana mereka menghadapi kesempitan wang untuk perbelanjaan operasi madrasah berkenaan.

“Apabila saya maklumkan mengenai kemungkinan penutupan madrasah kepada pelajar, mereka cukup bersedih kerana apabila berada di luar, mereka tidak lagi dapat merasai kenikmatan berjemaah seperti di sini.

“Sejak wabak Covid-19 melanda, kami di madrasah ini tidak pernah putus mengadakan Solat Jumaat kerana kami dibenarkan berjemaah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Pelajar di sini tidak mempunyai kontak dengan orang luar dan kakitangan pula hanya keluar jika ada keperluan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, makanan pula memang sentiasa dihadkan bagi persediaan pada waktu-waktu sukar. Sebelum pandemik lagi, pelajar di sini hanya makan pada waktu pagi dan malam sahaja. Pelajar juga digalakkan untuk berpuasa sunat pada setiap Isnin dan Khamis.

Bagi sumber makanan pula, pelajar di situ tidak pernah sampai tahap perlu ikat perut kerana sejak awal pandemik lagi, mereka mula menanam ubi kayu dan sayur-sayuran untuk kegunaan sendiri. Malah, pelajar juga diajar untuk menternak ayam kampung sebagai salah satu daripada aktiviti mereka di madrasah itu sebelum pandemik lagi.

“Rupa-rupanya ada hikmah juga mereka menternak ayam. Sejak pandemik, kami sudah menyembelih kira-kira 100 ekor ayam untuk kegunaan sendiri. Pada setiap Sabtu dan Ahad, pelajar akan makan ubi kayu menggantikan nasi seperti orang kampung dulu-dulu. Alhamdulillah, pelajar di sini tidak pernah merungut soal makanan,” katanya.

Tambah beliau, terdapat 58 orang pelajar yang berada di madrasah itu dan sebahagiannya merupakan anak yatim dan juga fakir miskin. Pelajar di sini berusia antara 13 hingga 25 tahun.

Mohd. Nazri berkata, pelajar berusia 18 tahun dan ke atas semuanya sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 yang lengkap.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN