Lelaki warga India diselamatkan polis, disyaki didera majikan - Utusan Malaysia

Lelaki warga India diselamatkan polis, disyaki didera majikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang lelaki warganegara India yang disyaki didera majikannya,  diselamatkan sepasukan anggota polis yang membuat serbuan di sebuah premis kedai di Jalan Dato Pathmanaban, Bandar Port Dickson dekat sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 7 petang oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang dibantu dibantu JSJ Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson itu, turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang berada di belakang premis tersebut yang mengaku sebagai pemilik kedai.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, pemeriksaan lanjut di dalam kedai bahagian belakang telah menyelamatkan seorang lelaki warganegara India berusia 27 tahun yang disyaki telah didera dan tidak dibayar gaji oleh majikannya.

“Siasatan awal mendapati, mangsa bekerja lebih kurang setahun enam bulan dan dalam tempoh tersebut mangsa tidak dibayar gaji, dipukul dan pasport telah dipegang oleh majikannya.

“Pasukan serbuan telah membuat pemeriksaan di dalam sebuah kenderaan milik majikan dan menjumpai pasport milik mangsa dan dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut dirampas, dua buah telefon bimbit, sehelai salinan lesen perniagaan, segugus anak kunci premis, seutas tali, sebatang kayu rotan dan seutas tali pinggang yang disyaki digunakan untuk memukul mangsa.

“Pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa dapati terdapat kesan kecederaan di bahagian telinga, luka di jari dan pergelangan tangan.

“Mangsa beserta tangkapan dan barang rampasan telah dibawa ke IPD Port Dickson untuk tindakan lanjut,” kata  Aidi Sham lagi.

Sementara itu, jelas beliau, suspek yang ditangkap  telah dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk permohonan reman dan diluluskan selama lima hari bermula hari ini.

“Mangsa telah dibenarkan Perintah Perlindungan Interim (IPO) selama 21 hari dan akan ditempatkan di Rumah Perlindungan Melaka.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 15 tahun ataupun denda,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN