KEMAMAN: Seorang lelaki positif Covid-19 yang cuba melarikan diri daripada dikuarantin pada Sabtu lalu akhirnya menyerah diri di Klinik Kesihatan Cheneh Baru, petang semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu menyerah diri pada pukul 2.30 petang.
“Kurang 24 jam menyembunyikan diri, lelaki itu akhirnya menyerah diri untuk dikuarantin,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hanyan berkata, lelaki yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah itu dikesan menyembunyikan diri dan bertindak meninggalkan kediamannya di Bandar Cheneh Baru selepas dipanggil untuk menjalani kuarantin.
Bagaimanapun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Bandi menyebabkan lelaki itu tidak dapat keluar dari kawasan tersebut.










