Lelaki menyamar polis samun warga asing ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki menyamar polis samun warga asing ditahan

ANTARA barangan milik suspek yang menyamar sebagai anggota polis bagi menyamun warga asing ditemukan di Taman Sentosa, Klang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegiatan seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun warga asing terbongkar apabila ditahan di Bukit Jalil dekat sini semalam.

Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan apabila pasukan polis peronda yang melalui hadapan sebuah apartment di lokasi kejadian terlihat kelakuan suspek.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, suspek sebelum itu dikatakan menahan seorang lelaki warga asing yang sedang berjalan kaki di hadapan apartment berkenaan pada 6.30 petang, Sabtu lalu.

Katanya, suspek memperkenalkan diri sebagai anggota polis lalu membuat pemeriksaan dan mengambil wang RM150 milik lelaki itu.

“Dua anggota Balai Polis Bukit Jalil yang menjalankan tugas ronda jenayah melihat kejadian lalu menghampiri suspek namun dia melarikan diri dengan memandu kereta Perodua Myvi menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Semasa melarikan diri, suspek turut melanggar beberapa kenderaan orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Idzam berkata, anggota polis menunggang motosikal mengejar suspek sehingga ke Jalil Link, Bukit Jalil yang mana kereta suspek terhalang oleh kenderaan yang berhenti di lampu isyarat merah.

Jelasnya, anggota mengarahkan suspek keluar dari kenderaan dan memberi amaran namun suspek memandu meluru ke arah anggota itu menyebabkan anggota terpaksa melepaskan empat das tembakan ke arah tayar keretanya.

“Bagaimanapun, suspek dapat melarikan diri dengan memandu menaiki pembahagi jalan dan melawan arus menuju ke Lebuhraya Shah Alam (Kesas) menghala Shah Alam,” katanya.

“Susulan kejadian itu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras membuat risikan dan berjaya menahan suspek serta merampas keretanya di Taman Sentosa, Klang, pada pukul 8.50 malam tadi,” katanya.

Muhammad Idzam berkata, semakan mendapati suspek memiliki beberapa rekod jenayah dan dadah malah ujian saringan urin juga didapati positif methamphetamine.

Beliau berkata, suspek akan ditahan reman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307/392 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintenden Wan Razzo Wan Hashim di talian 019-2633120 atau mana-mana balai polis berdekatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN