KANGAR: Seorang lelaki yang sedang menikmati makanan di sebuah restoran di Taman Perlis di sini, rebah sebelum meninggal dunia dipercayai akibat sawan dalam kejadian semalam.
Mangsa, Lee Theye Keong, 59, ditemukan terbaring di atas lantai sambil ditutup dengan kain putih berhampiran meja makan apabila polis tiba di lokasi tersebut pada pukul 8.45 malam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew berkata, saksi yang juga pemilik restoran itu menjelaskan mangsa yang sedang makan di restoran terbabit secara tiba-tiba mengalami sawan dan rebah.
Katanya, pihak Hospital Tuanku Fauziah (HTF) yang tiba di lokasi kejadian lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Pemeriksaan persekitaran restoran tersebut tidak menemukan sebarang tanda-tanda perbuatan jenayah. Mayat dibawa ke unit Forensik HTF untuk tindakan selanjutnya.
“Pegawai Perubatan HTF, Dr Mohd Saifudin Ayub menjelaskan mayat mangsa perlu menjalani saringan Covid-19 sebelum tindakan selanjutnya boleh dilakukan.
“Keputusan saringan dijangka dalam tempoh 24 jam bagi mengetahui sama ada mangsa positif Covid-19 atau sebaliknya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Wari, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN ONLINE










