PETALING JAYA: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun mendedahkan, lebih 1.12 juta atau 40.8 peratus penduduk dewasa di Sabah telah menerima suntikan pertama vaksin Covid-19.
Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata, sebanyak 485,880 atau 17.6 peratus penduduk dewasa Sabah telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.
Katanya, kerajaan negeri akan menambah kapasiti dan keupayaan pemberian suntikan vaksin Covid-19 melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), dan memastikan bekalan vaksin sentiasa mencukupi.
“Dalam keadaan virus Covid-19 sudah berada di tengah-tengah masyarakat, kita sedang mengejar masa untuk memberi vaksin kepada setiap orang yang layak untuk disuntik dengan kadar segera.
“Ini bermakna kes baharu akan terus mencatat angka yang tinggi sehingga lebih ramai penduduk memperoleh vaksin. Kes hanya akan mula menurun apabila kita berjaya memberi suntikan vaksin kepada penduduk pada satu tahap peratusan yang signifikan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Masidi turut menjelaskan bahawa saringan kontak rapat menjadi penyumbang utama kes harian Sabah meningkat sehingga 1,383 kes positif baharu Covid-19 hari ini.
Katanya, sebanyak 1,064 kes dalam kategori satu dan kategori dua, manakala kategori tiga (19 kes), kategori empat (12 kes), kategori lima (6 kes), dan selebihnya masih dalam siasatan JKNS.
“Daerah Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi hari ini iaitu 326 kes atau hampir 24 peratus daripada kes keseluruhan Sabah, diikuti Tawau 168 kes dan Sandakan dengan 138 kes. 749 kes atau 54.2 peratus merupakan hasil saringan kontak rapat diikuti saringan bergejala (322 kes atau 23.3 peratus), saringan kluster (111 kes atau lapan peratus) dan selebihnya dikesan menerusi saringan bersasar.
“Satu kluster baharu direkodkan di Kampung Timbua, Ranau melibatkan 49 kes. Kes tinggi yang melibatkan kontak rapat adalah satu petunjuk bahawa ada dalam kalangan kita yang masih lalai dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya. – UTUSAN ONLINE