PETALING JAYA: 100 doktor kontrak yang dilaporkan menolak pelantikan tetap daripada Kementerian Kesihatan didakwa memberi persepsi negatif pegawai perubatan kepada masyarakat dan membawa agenda tertentu.
Gerakan Hartal Doktor Kontrak dalam satu kenyataan berkata, kumpulan itu meragui maklumat yang didedahkan oleh kementerian seolah-olah tidak dikemas kini.
Alasannya, ada dalam kalangan mereka yang menolak tawaran tersebut selepas ‘keluar’ dari Kementerian Kesihatan, tidak lagi berkhidmat sebagai doktor namun tetap dimasukkan di dalam rekod penolakan jawatan tetap.
“Ada juga dalam kalangan pegawai perubatan yang tidak sempat membuat keputusan kerana tempoh masa yang diberikan terlalu singkat untuk sesuatu yang besar bagi mereka.
“Justeru, perkara ini membuat kami tertanya-tanya sama ada kerajaan ikhlas dalam memberikan tawaran tetap kepada kami? Kenyataan media dari kementerian baru-baru ini lebih banyak menimbulkan tanda tanya berbanding membentangkan penyelesaian masalah.
“Kami menantikan isi mesyuarat yang digembar-gemburkan dalam kenyataan media sebelum ini, adakah benar akan dipanjangkan atau sekadar penyedap hari seperti yang sering dihidangkan kepada kami sejak lima tahun lepas?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu hadir selepas Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah, pada 24 Ogos lalu, mendedahkan 100 daripada 300 pegawai perubatan kohort ketiga menolak pelantikan tetap yang baharu dilaksanakan bulan ini.
26 Julai lalu, sekumpulan pegawai perubatan kontrak mewakili 23,000 kalangan perjawatan itu berkomplot mengadakan mogok di seluruh negara bertujuan untuk menuntut pelantikan tetap mereka dalam kerajaan.
Kerajaan di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menawarkan penambahbaikan faedah-faedah pegawai perubatan kontrak seperti kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan cuti belajar bergaji penuh serta tajaan pengajian setara dengan cuti belajar bergaji penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).
Dalam pada itu, menolak laporan yang dikeluarkan, gerakan hartal berkata, tawaran 300 perjawatan itu adalah terlalu sedikit berbanding lebih 23,000 doktor kontrak yang direkrut kerajaan sejak sistem kontrak dilaksanakan kerajaan pada 2016.
Antara lain, katanya, kumpulan doktor kontrak yang mendapat lantikan tetap masih diambil daripada kumpulan pada bulan Mei 2014 walhal sekarang sudah hampir memasuki bulan September 2021.
“Isu yang dimainkan seolah-olah doktor kontrak menolak tawaran ini kerana ditawarkan ke Sabah dan Sarawak. Kami menegaskan ia bukan soal penempatan tetapi persoalannya di setiap negeri kekurangan doktor tetapi mengapa hanya dua negeri ini menjadi keutamaan?
“Dengan kesibukan dan tekanan mereka berperang dengan pandemik Covid-19, tiba-tiba perlu berpindah ke tempat jauh. Ada yang sudah sebati dengan tempat berdekatan keluarga, memiliki komitmen tertentu tetapi dipaksa merantau kerana kecelaruan polisi dari kerajaan.
“Andai kata kerajaan merasakan pendedahan kerajaan dapat menutup mulut kami, kami tidak akan berhenti sehingga kerajaan benar-benar memberikan hak selayaknya kepada semua doktor kontrak,” katanya. – UTUSAN










