Lan Pet Pet jadi pegawai tugas-tugas khas kepada peguam terkenal - Utusan Malaysia

Lan Pet Pet jadi pegawai tugas-tugas khas kepada peguam terkenal

MAZLAN Ahmad (kiri) bersama Dr. Aswandi Mohamed Hashim di Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Selepas tujuh bulan mendalami ilmu perundangan, pelawak popular, Mazlan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Lan Pet Pet hari ini memulakan tugas pertamanya selaku pegawai tugas-tugas khas kepada peguam terkemuka, Datuk Dr. Aswandi Mohamed Hashim.

Menurut Mazlan, dia minat bidang perundangan sejak sekian lama terhadap bidang perundangan setelah menonton filem-filem Hollywood dan Bollywood terutamanya berkaitan hujah-hujah peguam di mahkamah.

Artis berusia 52 tahun itu bagaimanapun berkata, dia tidak berhasrat untuk meninggalkan bidang seni sebaliknya akan cuba membahagikan masa untuk terus terlibat dengan dunia penggambaran selepas ini.

“Tempoh tujuh bulan ini bagi saya cukup unik. Sepanjang tempoh itu, saya menjalani latihan di Firma Guaman AHC milik Aswandi dan saya mula belajar mengenai perkara-perkara asas termasuk etika bercakap dengan orang awam, berpakaian serta memahami situasi dalam mahkamah.

“Orang mungkin kata saya rempang (gila-gila) apabila melihat saya. Namun jika diberi karakter serius seperti peguam ketika melakukan penggambaran, insya-Allah saya boleh lakukan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika mengiringi Aswandi mengendalikan salah satu kes anak guamannya di Mahkamah Majistret Alor Setar di sini hari ini.

Sementara itu, Aswandi berkata, latar belakang Mazlan yang lebih dikenali sebagai seorang pelawak sebelum ini bukanlah penghalang buatnya untuk mendalami sedikit sebanyak ilmu-ilmu perundangan.

“Kami sebenarnya sudah lama kenal iaitu sejak kecil lagi ketika tinggal di Taman PKNK di sinj sebelum terpisah selama kira-kira 25 tahun.

“Apabila kami bertemu semula tahun lalu, Mazlan menyatakan hasratnya untuk mendalami ilmu perundangan dan memberitahu itu sememangnya menjadi impiannya sejak sekian lama.

“Maka saya bawa dia menjalani latihan di firma guaman kami. Selepas tujuh bulan, saya boleh katakan dia ‘lulus’ dan kami memberikannya kontrak setahun untuk terus bersama firma guaman ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN