PYONGYANG: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menggerakkan pasukan tentera untuk melakukan kerja pemulihan di beberapa kawasan terjejas yang dilanda hujan lebat.
Lapor media tempatan tindakan itu dibuat di tengah-tengah kebimbangan krisis ekonomi dan kekurangan makanan di alami negara itu.
Agensi berita KCNA memaklumkan, Suruhanjaya Tentera dibawah Parti Pekerja mengadakan mesyuarat di timur wilayah South Hamgyong berbincang mengenai kerosakan dan pemulihan akibat bencana itu.
Jelas KCNA, Jong-un tidak menghadiri mesyuarat tersebut namun pegawai parti diarahkan menggerakkan kempen pemulihan dan menyalurkan bantuan bekalan diperlukan di wilayah itu.
KCNA tidak menyatakan jumlah kerosakan bencana tetapi memaklumkan suruhanjaya berkenaan mencari langkah terbaik untuk memulihkan kawasan terjejas, menstabilkan kehidupan penduduk, mencegah Covid-19 dan meminimumkan tanaman rosak.
Mesyuarat itu diadakan di tengah-tengah kebimbangan krisis yang dialami sebuah ekonomi negara tertutup yang dikenakan sekatan antarabangsa yang disasarkan untuk membendung program nuklear dan senjata.
Pada Jun lalu, Jong-un berkata, Korea Utara mengalami ‘ketegangan’ krisis makanan serius dengan memetik pandemik Covid-19 dan taufan berlaku tahun lalu sebagai antara puncanya.
Korea Utara tidak pernah mengesahkan sebarang kes Covid-19 namun bertindak menutup sempadan negaranya, menghentikan perdagangan dan mengenakan peraturan pencegahan ketat dengan menyifatkan pandemik itu sebagai isu kelangsungan negara. – AGENSI










