Kes denggi di Kedah meningkat - Utusan Malaysia

Kes denggi di Kedah meningkat

DR. OTHMAN WARIJO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kes denggi di negeri ini meningkat bagi minggu berakhir 31 Julai lepas berbanding minggu sebelumnya dengan keseluruhan 11 kes demam denggi.

Menurut Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Othman Warijo, bagaimanapun tiada kes kematian denggi dilaporkan setakat ini.

“Terdapat peningkatan dua kes berbanding minggu sebelumnya. Walaupun Kedah tidak terkecuali daripada impak pandemik Covid-19, namun Jabatan Kesihatan negeri terus melaksanakan aktiviti kawalan dan pencegahan denggi bagi memastikan penyakit denggi sentiasa terkawal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga 31 Julai, anggota jabatan melakukan pemeriksaan ke atas 192,097 premis dan mengeluarkan kompaun kepada 1,776 pemilik premis kerana didapati terdapat pembiakan nyamuk Aedes.

Sementara itu tambahnya, jumlah kumulatif kes denggi dilaporkan di seluruh Kedah adalah 343 kes berbanding 583 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

“Terdapat penurunan penurunan sebanyak 240 kes. Sembilan daerah yang menunjukkan penurunan kes demam denggi berbanding tempoh yang sama tahun lepas iaitu iaitu Padang Terap, Pendang, Kubang Pasu, Sik, Bandar Baharu, Baling, Kulim, Kota Setar, dan Kuala Muda.

“Dua daerah merekodkan bilangan kes yang sama iaitu Langkawi dan Yan masing-masing dua kes. Setakat ini terdapat 14 lokaliti wabak denggi dilaporkan di Kedah, berbanding 21 dalam tempoh yang sama pada tahun lalu,” katanya.

Tambah beliau, jabatan berharap masyarakat di negeri ini dapat terus memberikan kerjasama kepada pihaknya dan majlis daerah dalam menangani kes dan wabak denggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN