KUALA LUMPUR: UMNO perlu memastikan kestabilan politik, ketelusan pentadbiran dan perubahan yang besar kepada Keluarga Malaysia.
Bagi membuktikan perkara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beberapa perkara perlu dibuat kerajaan antaranya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas terhadap campur tangan politik ke atas Pejabat Peguam Negara.
Selain itu, undang-undang antilompat parti juga perlu digubal dan pendanaan politik yang sah serta telus perlu dirangka.
Jelas beliau, inilah masa yang sesuai untuk melaksanakan perkara berkenaan termasuk pemantapan institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM).
“Kesemua reform ini adalah kritikal. Ia bukan sahaja baik untuk negara, masyarakat dan amalan demokrasi di negara kita. Tetapi ia membawa bersamanya beberapa pengertian yang lebih penting,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam hal ini, Mohamed Khaled berkata, pelaksanaan kesemua perkara itu dapat membuktikan UMNO adalah parti yang serius dalam membawa kebaikan dan sentiasa terbuka dalam memantapkan tadbir urus negara.
Selain itu, ia membantu memulihkan imej dan persepsi umum kepada UMNO khususnya dalam menzahirkan keupayaan serta fokus menjadikan Malaysia negara yang lebih baik.
Malah beliau berkata, segala reform itu akan dapat memisahkan UMNO dari Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini dilihat sekadar menabur janji manis sedangkan gagal melaksanakan segala penambahbaikan dijanjikan kepada rakyat.
“Sesungguhnya UMNO percaya dan yakin pentadbiran negara di bawah kemudi Perdana Menteri daripada UMNO akan membawa perubahan dan kebaikan yang kita semua harapkan,” ujarnya lagi. – UTUSAN ONLINE










