KUANTAN: Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri hari ini mengesahkan kelulusan tambahan 104 unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) bagi pelaksanaan dan pembinaan bermula bulan depan.
Tambahan itu di bawah fasa tiga daripada 102 unit yang diluluskan di bawah fasa dua untuk pelaksanaan dan pembinaan tahun ini juga.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini bermakna, sebanyak 206 unit RRP bernilai RM65,000 seunit atau RM13.39 juta keseluruhan untuk fasa dua dan tiga yang akan dibina tahun ini.
“Di bawah RRP, rumah dibina untuk diberi secara percuma kepada golongan memerlukan rumah khususnya mereka tersenarai dalam daftar ‘e-kasih’.
“Dilancarkan tahun lalu di bawah fasa satu atas keprihatinan kerajaan negeri untuk membantu golongan berkenaan, sebanyak 98 unit bernilai RM6.37 juta telah siap dibina serta diduduki.
“Agihannya pada tahun itu, dua unit bagi masing-masing 42 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu unit bagi masing-masing 14 Parlimen di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Wan Rosdy berkata, diharapkan, lebih banyak RRP dapat dibina pada masa depan dengan berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan negeri. – UTUSAN ONLINE