JOHOR BAHRU: Kerajaan baharu yang akan ditubuhkan kelak perlu meneruskan kesinambungan dan usaha keras kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani isu pandemik Covid-19.
Ketua Penerangan Wanita PN Johor, Normala Sudirman berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksana telah membuktikan kejayaan dengan catatan jumlah vaksinasi harian antara yang tertinggi di dunia.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Johor itu memberitahu, strategi Pelan Pemulihan Negara (PPN) juga menunjukkan prestasi yang baik dan semakin menunjukkan kejayaan dari masa ke semasa.
“Sehingga hujung tahun ini kita akan melihat keberhasilan PPN yang diilhamkan kerajaan PN dahulu.
“Ini termasuklah inisiatif kerajaan yang menempah lebih 87 juta dos vaksin melibatkan perbelanjaan RM4.36 bilion adalah langkah dan usaha membebaskan rakyat daripada Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Normala, RM530 bilion telah diperuntukkan sepanjang era kerajaan PN melibatkan lapan pakej ekonomi dalam usaha menjaga kesihatan dan meneruskan kelangsungan hidup rakyat.
“Kami berharap semua usaha itu dapat diteruskan Kabinet baharu meskipun pucuk pimpinan utama kerajaan telah bertukar selaras dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kita juga ingin merakam sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh anggota Kabinet kerajaan PN yang telah mencurahkan khidmat bakti dengan cemerlang sepanjang tempoh perkhidmatan.
“Rakyat Malaysia menjadi saksi kesungguhan kerajaan PN dipimpin Tan Sri Muhyiddin yang telah gigih berusaha sehabis mampu untuk menyelamatkan negara tercinta daripada cengkaman wabak Covid-19 selama ini,” ujarnya. – UTUSAN