ALOR SETAR: Pemuda UMNO Kedah menaruh harapan tinggi agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerapkan pendekatan baharu yang inklusif dan mempunyai paradigma meyakinkan demi menawan semula rakyat dan melawan pandemik Covid-19.
Ketua Penerangannya, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, sehubungan itu idealisme pembentukan kerajaan baharu itu tidak boleh meniru model kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) atau PN 2.0.
“Dua kerajaan berkenaan terbukti gagal sehingga terpaksa digugurkan di pertengahan jalan. Jikalau Perdana Menteri baharu memutuskan untuk beliau sekadar mengepalai jemaah Kabinet yang sama, yang hanya susuk pemandu yang berubah, tindakan tersebut semestinya tidak melegakan kedahagaan rakyat yang inginkan perbezaan dalam tadbir urus kerajaan.
“Kerajaan PN sohor dengan ‘scheme of things’ bagi mempertahankan kuasa kumpulan tertentu sahaja sehingga agenda rakyat terabai. Lantas tidaklah menghairankan kenapa kerajaan PN dikaitkan dengan imej #kerajaangagal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, model Barisan Nasional (BN) dahulunya mestilah diperkasakan dengan elemen yang dinamik menerusi permuafakatan politik, bahasa dan budaya jiwa bangsa, mengutamakan meritokrasi terutamanya dalam sistem pendidikan pengajian tinggi.
“BN perlu dengar pandangan seluruh rakyat Malaysia berbilang bangsa, keazaman perlu disematkan untuk membuka ruang mereka yang merasa disisihkan dan jadikanlah pendidikan sebagai alat perpaduan nasional.
“Pemupukan semangat kekitaan antara etnik berlainan harus dimanfaatkan malah diperkukuhkan. Itulah semangat dan roh ‘Keluarga Malaysia’ bagi saya,” katanya.
Berpaksi kepada itu katanya, kerajaan baharu itu yang tidak mempunyai banyak masa sebaliknya harus berani tampil dengan idea, pendekatan dan dasar baru terutama dalam memulihkan ekonomi, melawan Covid-19 dan memberi keyakinan rakyat.
“Jangan jadikan kerajaan baharu ini hanya setakat satu lagi kerajaan. Dalam kita menaruh harapan yang tinggi kepada kerajaan, rakyat juga harus sama berganding bahu,” katanya.
Katanya, apa yang bakal dilakukan Ismail Sabri dalam masa 100 hari pertama akan menjadi perhatian, kajian dan rumusan tentang hala tuju negara.
“Sebagai mewakili generasi muda, saya menzahirkan harapan agar satu perubahan total dapat dilakukan terhadap senario kepimpinan negara,” katanya.










