PUTRAJAYA: Cadangan pemberian dos penggalak vaksin atau booster akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dalam mesyuarat Jumaat ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, setakat ini belum ada sebarang keputusan berhubung pelaksanaan dos penggalak atau dos ketiga bagi penerima vaksin Covid-19 di negara ini.
“Kumpulan kerja teknikal dijangka membentangkan pelaksanaan dos penggalak ini kepada JKJAV dalam mesyuarat Jumaat ini.
“Kita akan buat keputusan mengenainya selepas mesyuarat itu nanti,” katanya dalam sidang akhbar mingguan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Khairy berkata, pihaknya juga belum memutuskan apa-apa keputusan mengenai pelaksanaan kaedah ‘mix and match’ vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca bagi melengkapkan dua dos pelalian.
“Perkara itu juga perlu dibentangkan untuk diputuskan pada mesyuarat JKJAV dan cadangan mengenainya juga akan dikemukakan oleh kumpulan kerja teknikal,” katanya.
Selain itu, Khairy menjelaskan, mesyuarat JKJAV pada Jumaat ini juga akan memutuskan harga siling vaksin jenis Sinovac bagi pasaran swasta di negara ini.










