Keputusan MT selepas 30 Jun tidak sah - Utusan Malaysia

Keputusan MT selepas 30 Jun tidak sah

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dibuat selepas tarikh 30 Jun adalah tidak sah kerana kedudukan kepimpinan parti tergantung selepas tempoh pemegang jawatan mereka telah berakhir.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berpandangan, justeru keputusan dibuat MT membabitkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tidak terpakai sama sekali.

Katanya, ia juga membabitkan sama arahan MT kepada ahli Parlimen dan pemimpin UMNO agar meletak jawatan di dalam Kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Apabila tempoh jawatan berakhir pada 30 Jun, MT tidak boleh membuat keputusan membabitkan soal dasar kerana mereka bertindak sebagai ‘caretaker’ sehingga pemilihan baharu dibuat.

“Oleh demikian, sebarang keputusan MT menyentuh perkara dasar apatah lagi penarikan sokongan kepada kerajaan dan meminta Kabinet meletakkan jawatan adalah tidak sah kerana ia diputuskan dalam mesyuarat MT yang berlangsung pada baru-baru ini,” katanya.

Kelmarin, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) memaklumkan keputusan UMNO menangguhkan pemilihan MT, Bahagian dan Cawangan selama 18 bulan adalah tidak sah apabila keputusan dibuat oleh kepimpinan pada 7 Julai sedangkan tempoh pemegang jawatan MT bagi penggal 2018/2021 telah berakhir pada 30 Jun.

Perkembangan itu menyaksikan kedudukan pemimpin parti itu tergantung sekali gus mengundang pelbagai persoalan membabitkan keputusan dibuat MT baru-baru ini.

Dalam pada itu, Shahidan menggesa pemilihan parti diadakan paling awal pada hujung tahun untuk mengelakkan pelbagai masalah berbangkit kelak dan kemelut kepimpinan yang melanda parti tersebut selama ini.

Jelasnya, jika dibiarkan berlarutan dan berpanjangan secara tidak langsung mengundang krisis kepimpinan parti sekali gus boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan akar umbi.

“Pemilihan kena cepat diadakan namun bukanlah pada masa terdekat tetapi selepas situasi Covid-19 reda iaitu paling awal iaitu hujung tahun atau paling lewat pada awal tahun depan.

“Tetapi kepimpinan UMNO kena umumkan tarikh pemilihan sekarang supaya persediaan dapat dilakukan di semua bahagian dan cawangan parti,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan akan membuat laporan polis jika surat Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dihantar kepadanya berbentuk ugutan.

Namun beliau sehingga kini masih menerima belum surat tersebut.

“Kalau terima sekali pun, saya tidak akan menjawab surat ini yang meminta saya menyatakan pendirian sebelum pada 7 Ogos. Jika ada unsur ugutan, saya segera buat laporan polis,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN