Kemelut politik jangan sampai jejas bekalan vaksin - Utusan Malaysia

Kemelut politik jangan sampai jejas bekalan vaksin

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap sebarang percaturan atau kemelut politik yang berlaku di peringkat Kerajaan Pusat pada masa ini tidak menjejaskan bekalan vaksin Covid-19 ke negeri-negeri.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebelum ini Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin telah menyatakan komitmen akan menumpukan perhatian kepada program PICK sehingga mencapai matlamat.

“Saya percaya kemelut politik yang membabitkan watak-watak politik semuanya tidak ingin lihat program vaksin ini terjejas, apa sahaja percaturan atau pergolakan politik berlaku program ini akan diteruskan.

“Bekalan vaksin juga bergantung kepada tempahan daripada syarikat pengeluar, kalau sudah sampai tarikh penghantaran syarikat perlu hantar, siapa pun yang menjadi kerajaan sepatutnya ia tidak jejaskan kelangsungan program PICK,” katanya selepas meninjau program Penang Saring Covid-19 di Flat Taman Manggis, di sini hari ini.

Menurut Kon Yeow, sekiranya mengikut jadual perjalanan bekalan vaksin, program PICK boleh membantu negara untuk mencapai imuniti kelompok menjelang Oktober dan Pulau Pinang juga mampu mencapainya sekitar hujung September atau awal Oktober ini.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) aktiviti ‘dine-in’ di kedai makan dan restoran.

Kata beliau, pihaknya mencadangkan sekurang-kurangnya operator dan pekerja diberikan satu dos vaksin Covid-19 sebelum mereka dibenarkan untuk menawarkan perkhidmatan ‘dine -in’ untuk keselamatan semua pihak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN