PUTRAJAYA: Buat julung kali, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi tampil dengan video bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2021 dalam suasana kebiasaan baharu dihasilkan dengan kerjasama Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC).
Video berdurasi lima minit itu dijayakan pelakon cilik antaranya Nik Harraz Nik Yusoff yang memegang watak sebagai kanak-kanak istimewa selain aktres Nik Qistina Hatifah dan aktor Rahul Iskandar, menampilkan kisah seorang guru yang meminta sekumpulan murid dalam kelasnya untuk melukis imej erti kemerdekaan tanah air.
Tidak seperti kelaziman yang memaparkan gambaran kemajuan infrastruktur terutama mercu tanda terkenal di Malaysia, video itu memberi fokus kepada kekayaan komoditi negara kita dengan tema Jiwa Merdeka selain memaparkan seorang budak lelaki kurang pendengaran bernama Apit mahu mencipta keunikan lukisannya apabila memaparkan imej lain daripada lain.
Anak peneroka di salah sebuah skim tanah rancangan itu akhirnya mendapat ilham apabila mendapati banyak produk harian berasaskan sumber hasil komoditi tempatan sendiri.
Dia menerusi video itu dipaparkan mula teringat pesanan ibu dan bapanya yang telah meninggal dunia agar menghargai kemewahan komoditi dan perkayuan bernilai tanah air.
Apit malah menerima sokongan daripada abangnya selepas balik meninjau keindahan ladang sawit, getah dan perabot buatan tempatan bagi menggambarkan kemakmuran kemerdekaan.
Lukisannya yang memaparkan karikatur tiga pekerja ladang berlatar belakang pokok kelapa sawit, getah dan pokok balak mendapat pujian guru kelasnya dan guru besar sekolah.
Kementerian tersebut menerusi kenyataan memaklumkan, video itu mahu membuka minda penonton mengenai hasil komoditi berjaya menyuntik semangat patriotik dan menjana ekonomi negara, yang boleh disaksikan menerusi akaun sosial rasmi Facebook kementerian berkenaan selain Youtube CCTV MPIC dengan tajuk Jiwa Merdeka.