TUMPAT: Kelantan sukar ‘lolos’ ke Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengikut jejak Perlis, Sarawak dan Labuan ekoran peningkatan kes harian Covid-19 di seluruh negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, perkara itu bertambah sukar apabila rakyat Kelantan sudah mula mengambil mudah aspek prosedur operasi standard (SOP) ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, untuk beralih ke Fasa Ketiga PPN, sesebuah negeri perlu mencapai syarat ditetapkan, antaranya jumlah kes harian yang menurun, peratusan vaksinasi yang tinggi serta situasi unit rawatan rapi (ICU) yang terkawal.
“Setakat ini di Kelantan sahaja terdapat 28 lokasi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Buat masa sekarang agak sukar untuk kita beralih.
“Sebab itulah kita nasihatkan rakyat walaupun sudah terima dua atau satu dos suntikan vaksin mereka harus patuh SOP,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bakul makanan kepada penduduk yang dikenakan PKPD di Kampung Kebakat, Wakaf Bharu di sini hari ini.
Ahmad memberitahu, kerajaan negeri juga berharap rakyat dapat mengambil iktibar mengenai situasi di negara yang sudah mencapai imunisasi kelompok apabila rakyatnya dilaporkan masih terkena jangkitan Covid-19.
Katanya, situasi itu berlaku disebabkan terdapat banyak varian baharu Covid-19 yang muncul dan lebih bahaya berbanding sebelum ini.
“Jadi, teruslah patuh kepada SOP agar rantaian jangkitan ini berjaya diputuskan secepat mungkin dan kita semua dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” jelasnya.
Semalam, kes jangkitan Covid-19 harian di Kelantan mencecah 932 kes berbanding sehari sebelumnya 772 kes.