Polis tangkap lima lelaki curi mesin penapis air di masjid

Polis tangkap lima lelaki curi mesin penapis air di masjid

TANGKAP layar rakaman CCTV dua individu mencuri mesin penapis air di Masjid Batang Benar, Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lima lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian mencuri mesin penapis air dari masjid sekitar Nilai di sini ditangkap di dua lokasi berasingan di Selangor hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pada 30 Jun lalu, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai telah menerima tiga laporan polis berhubung kes kecurian mesin penapis air di tiga buah masjid sekitar Nilai.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Nilai dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan telah menahan seramai lima lelaki tempatan berumur lingkungan 20-an hingga 40-an.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, kesemua mereka ditahan masing-masing di kawasan Pangsapuri Bandar Tasik Kesuma dan Beranang, Selangor.

“Tangkapan pertama dilakukan lebih kurang pukul 12 tengah hari melibatkan dua suspek utama, diikuti dengan tangkapan kedua ke atas tiga lagi suspek pada lebih kurang pukul 12.15 tengah hari.

“Hasil tangkapan membawa kepada penemuan dan rampasan barang kes utama, iaitu satu unit mesin penapis air yang dicuri pada 30 Jun lalu.

ADS:D

“Turut dirampas adalah sebuah kereta, telefon bimbit, pakaian semasa kejadian dan peralatan digunakan untuk mencabut mesin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Malik berkata, hasil siasatan awal mendapati semua suspek menggunakan media sosial untuk mencari pembeli barang curi dan menyasarkan masjid yang kurang dikunjungi dan mencuri penapis air yang diletakkan di luar ruang solat.

“Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan narkotik. Ujian saringan air kencing mendapati empat daripada lima suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang boleh membawa hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai sepuluh tahun dan juga boleh dikenakan denda dan sebat.

Katanya, semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban esok untuk permohonan reman dibawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN