KOTA BHARU: Lima ahli Parlimen dan Senator dari Kelantan dilantik menjadi menteri manakala empat lagi sebagai timbalan menteri dalam Kabinet diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri hari ini.
Dengan pelantikan sembilan individu tersebut, wakil Kelantan berkurangan seorang berbanding 10 orang sebelum ini, namun kekal antara negeri paling ramai wakil yang membarisi Kabinet Kerajaan Persekutuan.
Lima menteri tersebut terdiri daripada Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin yang kekal sebagai Menteri Kanan – Pendidikan bersama Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri Ekonomi) serta Datuk Tuan Man Tuan Ibrahim (Menteri Alam Sekitar).
Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut kekal dalam senarai namun bertukar portfolio kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli bersama Tan Sri Annuar Musa yang dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.
Timbalan Menteri dari Kelantan pula terdiri daripada Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Timbalan Menteri Pertahanan), Datuk Ahmad Marzuk Shaary (Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama) serta Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff (Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga.
Muka baharu dari Kelantan kali ini ialah Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, menggantikan Datuk Che Abdullah Mat Nawi, juga dari negeri ini.
Sementara itu, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, beliau amat menghargai kepercayaan diberikan Perdana Menteri untuk beliau terus melaksanakan tugas sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).
Kata beliau, pelantikan itu satu amanah besar untuk beliau turut serta menjayakan usaha kerajaan memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 sejak lebih setahun lalu.
“Saya percaya kombinasi barisan Kabinet diumumkan Perdana Menteri mampu melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan efisien demi kesejahteraan rakyat serta membebaskan Malaysia daripada pandemik Covid-19.
“Pelan ini adalah kesinambungan kepada asa yang dibina Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Insya-Allah jemaah menteri serta timbalan menteri akan berganding bahu memastikan budaya kerja berprestasi tinggi dapat dijayakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE