Keberanian PM wajar dipuji - PN Johor - Utusan Malaysia

Keberanian PM wajar dipuji – PN Johor

DR. SAHRUDDIN JAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keberanian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menentukan keabsahan kedudukannya dalam sidang Parlimen pada September ini wajar diberi pujian.

Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, beliau berbuat demikian kerana keabsahannya sebagai Perdana Menteri seringkali dipersoalkan segelintir pihak.

“Perdana Menteri telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa dirinya masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Malah kesemua cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri telah mendapat perhatian dan perkenan Seri Paduka.

“Justeru, kerajaan PN perlu kekal melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat serta negara khususnya dalam menangani pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin dalam perutusan khas memaklumkan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri akan ditentukan melalui usul percaya dalam sidang Dewan Rakyat, September ini.

Sementara itu, Dr. Sahruddin turut memberitahu, kerajaan perlu terus berfungsi seperti biasa, dan sebarang desakan ke atas kedudukan Perdana Menteri harus dihentikan sehingga sidang Dewan Rakyat akan datang.

“Semua ahli Parlimen diseru untuk mengetepikan kepentingan politik masing-masing dan memberi tumpuan penuh kepada usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

“Penumpuan harus diberi terhadap usaha meningkatkan kadar pemberian vaksin kepada rakyat menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta menyempurnakan usaha membantu rakyat di lapangan,” katanya.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, PN Johor menghormati dan memelihara sistem Raja Berperlembagaan sekali gus menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara yang telah menjadi asas perpaduan dan keamanan negara.

“PN Johor juga teguh menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri untuk terus mengemudi kerajaan ini,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN